Bismillah
Diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dari Salman
Radhiallahu'anhu, katanya:
Rasulullah
Sallallahu'alaihi Wasallam berkhutbah di hadapan kami pada hari terakhir
daripada bulan Sya'ban.
Beliau bersabda: "Wahai manusia, sesungguhnya
kamu dinaungi oleh bulan yang sentiasa besar lagi penuh keberkatan, iaitu bulan
yang di dalamnya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, bulan
yang Allah telah menjadikan puasa-Nya suatu fardhu dan qiyam di malam harinya
suatu tatawwu' (sunat).
Barangsiapa mendekatkan dirinya kepada Allah dengan
suatu pekerjaan kebajikan di dalamnya, samalah dia dengan orang yang menunaikan
suatu fardhu di bulan yang lain dan barangsiapa yang menunaikan suatu fardhu di
dalam bulan Ramadhan maka samalah dia dengan orang yang mengerjakan 70 fardhu
di bulan yang lain.
Ramadhan itu adalah bulan sabar, sedang sabar itu
pahalanya adalah syurga.
Ramadhan itu adalah bulan memberikan pertolongan
dan bulan Allah memberi rezeki kepada para mukmin di dalamnya.
Barangsiapa memberi makanan berbuka di dalamnya
kepada seseorang yang berpuasa, adalah yang demikian itu merupakan pengampunan
bagi dosanya dan kemerdekaan dia dari neraka.
Orang yang memberikan makanan berbuka puasa,
baginya pahala seperti pahala orang yang mengerjakan puasa itu, tanpa
dikurangkan sedikitpun."
Para Sahabat berkata: "Ya Rasulullah, tidaklah
kami semua memiliki makanan berbuka puasa itu untuk orang yang berpuasa?"
Maka bersabda Nabi Sallallahu'alaihi Wasallam:
"Allah memberikan pahala itu kepada orang yang memberikan sebutir kurma,
atau seteguk air, atau sehirup susu.
Dialah bulan yang permulaannya rahmat,
pertengahannya keampunan dan pengakhirannya merdeka dari api neraka.
Barangsiapa meringankan beban daripada hamba sahaya
(pembantu-pembantu rumah), nescaya Allah akan mengampuni dosanya dan
memerdekakannya daripada api neraka.
Oleh itu perbanyakkanlah empat perkara di dalam
bulan Ramadhan.
Dua perkara untuk menyenangkan Tuhanmu dan dua
perkara lagi untuk kamu sangat menghajatinya.
Dua perkara yang kamu lakukan untuk menyenangkan
Allah ialah mengakui dengan sesungguhnya bahawa tiada Tuhan yang disembah
melainkan Allah dan memohon keampunan kepada-Nya.
Dua perkara lagi yang kamu sangat memerlukannya
ialah memohon syurga dan berlindung daripada neraka.
Barangsiapa yang memberi minum kepada orang yang
berpuasa, nescaya Allah memberi minum kepadanya dari air kolam itu dengan suatu
minuman yang dia tiada merasakan dahaga lagi sesudahnya, sehingga dia masuk ke
dalam syurga"
(At-Targhib, jld.II, 217-218)
Wallahu A'alam...
Credit to: P-125 Putrajaya